Setelah selesai bersarapan, aku, Kri dan mak ke pasar membeli keperluan untuk kenduri esok. Jauh juga pasar itu. Ia terletak di Merbok. Sukar juga kalau tak ada kenderaan sendiri. Kabarnya sejak ada jalan baru ke pasar itu, teksi dah berkurangkan dan ada yang tak mahu menghantar penumpang kesana. Nak naik bas.. ermmm perkhidmatan bas agak lambat.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar ke rumah Mak Tam. Kami disajikan dengan mee hoon goreng serta milo panas. Kami berbual kosong sebelum pulang ke rumah.
Mak Teh dan beberapa jiran Kri sudah pun berada di rumah bila kami sampai. Mereka membantu apa yang patut. Setelah menyimpan barang-barang yang di beli tadi, Kri mengajak aku ke rumah Tok Chik. Dalam perjalanan kesana Kri singgah sekejap di gerai yang menjual nira. Aku tak pernah minum@rasa nira. Melihatnya saja cukup untuk aku tidak menyukai rasanya. Kri bersungguh-sungguh menyuruh aku minum nira yang dibelinya tadi. Baunya saja aku tak suka tapi demi Kri aku minum sedikit. Dengan payah aku cuba menelan nira dengan muka ku yang berkerut-kerut. Ish tak best langsung! Aku berikan gelas aku pada Kri untuk dia habiskannya.
Lama juga kami di rumah Tok Chik. Tok Chik seorang yang peramah dan ada saja yang dibualkannya. Aku senang dengan dia dan keluarganya. Kami asyik berbual sehingga aku tak sedar yang hari sudah beransur senja. Kami minta diri untuk pulang ke rumah.
Bila kami tiba dirumah, Adik Kri, Fauzi dan isteri serta anak-anak mereka sudah ada. Aku terus ke dapur membantu emak menyediakan makan malam. Seronok juga makan bersila ramai-ramai.
Kedengaran suara azan berkumandang dari masjid yang terdekat untuk solat Isyak. Sebahagian kami bersiap-siap untuk bersolat jemaah dimasjid. Usai solat, imam masjid memberitahu jemaah-jemaah yang hadir akan kenduri yang akan diadakan di rumah Kri keesokkan harinya. Menurut Kri, masjid digunakan sebagai media pemberitahuan pada semua untuk apa juga aktiviti.
Posted at 09:19 am by tiffydsickbear